Ya Allah..
Kau ampunilah dosaku yang telah ku lakukan,
Kau limpahkanlah aku dengan kesabaran yang tiada terbatas,
Kau berikanlah aku kekuatan mental,
Kau kurniakanlah aku dengan sifat keredhaan,
Kau peliharalah lidahku dari kata-kata nista,
Kau kuatkanlah semangatku menempuhi segala cabaran-Mu,
Kau berikanlah aku sifat kasih sesama insan..
Ya Allah..
Sekiranya suamiku ini adalah pilihan Mu di arash,
Berilah aku kekuatan dan keyakinan untuk terus bersamanya,
Sekiranya suamiku ini adalah suami yang akan membimbing tanganku di titian-Mu,
Kurniakanlah aku sifat kasih dan redha atas segala perbuatannya,
Sekiranya suamiku ini adalah bidadara untukku di jannah-Mu,
Limpahkanlah aku dengan sifat tunduk dan tawaduk akan segala perintahnya,
Sekiranya suamiku ini adalah yang terbaik untukku di dunia-Mu,
Peliharalah tingkah laku serta kata-kataku dari menyakiti perasaannya,
Sekiranya suamiku ini jodoh yang dirahmati oleh-Mu,
Berilah aku kesabaran untuk menghadapi segala kerenah dan ragamnya..
Tetapi Ya Allah..
Sekiranya suami ku ini ditakdirkan bukan untuk diriku seorang,
Kau tunjukkanlah aku jalan yang terbaik untuk aku harungi segala dugaan-Mu,
Sekiranya suamiku tergoda dengan keindahan dunia-Mu,
Limpahkanlah aku kesabaran untuk terus membimbingnya,
Sekiranya suamiku tunduk terhadap nafsu yang melalaikan,
Kurniakanlah aku kekuatan-Mu untuk aku memperbetulkan keadaannya,
Sekiranya suamiku menyintai kesesatan,
Kau pandulah aku untuk menarik dirinya keluar dari terus terlena..
Ya Allah..
Kau yang Maha Mengetahui apa yang terbaik untukku,
Kau juga yang Maha Mengampuni segala kesilapan dan keterlanjuranku,
Sekiranya aku tersilap berbuat keputusan,
Bimbinglah aku ke jalan yang Engkau redhai,
Sekiranya aku lalai dalam tanggungjawabku sebagai isteri,
Kau hukumlah aku di dunia tetapi bukan di akhirat-Mu,
Sekiranya aku ingkar dan derhaka,
Berikanlah aku petunjuk kearah rahmat-Mu..
Ya Allah..
Sesungguhnya aku lemah tanpa petunjuk Mu,
Aku buta tanpa bimbingan Mu,
Aku cacat tanpa hidayah Mu,
Aku hina tanpa Rahmat Mu..
Ya Allah..
Kuatkan hati dan semangatku,
Tabahkan aku menghadapi segala cubaan-Mu,
Jadikanlah aku isteri yang disenangi suami,
Bukakanlah hatiku untuk menghayati agama-Mu,
Bimbinglah aku menjadi isteri solehah..
Hanya pada Mu, Ya Allah..
Ku pohon segala harapan,
Kerana aku pasrah dengan dugaan-Mu,
Kerana aku sedar hinanya aku,
Kerana aku insan lemah yang kerap keliru,
Kerana aku leka dengan keindahan dunia-Mu,
Kerana kurang kesabaran ku menghadapi cabaran-Mu,
Kerana pendek akal ku mengharungi ujian-Mu..
Ya Allah Tuhanku..
Aku hanya ingin menjadi isteri yang dirahmati,
Isteri yang dikasihi,
Isteri yang solehah,
Isteri yang sentiasa dihati suamiku..
Amin, Ya Rabbi Allamin.. :)
0 ♥love me =):
Post a Comment